Mahkamah tolak rayuan Musa Aman dan sekutu



MAHKAMAH Rayuan menolak rayuan dikemukakan bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman bersama 32 lagi Adun berhubung keputusan pembubaran DUN oleh Yang Dipertua Negeri Sabah pada 30 Julai lalu.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim menolak permohonan mereka bagi semakan kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sebelum ini.

Rayuan kesemua Adun berkenaan supaya mahkamah menangguhkan keputusan  sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan turut ditolak.

Sebagai rekod, pada 17 Ogos, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak permohonan 33 Adun berkenaan bagi membatalkan permohonan Shafie kepada Juhar untuk membubarkan DUN, membatalkan pengisytiharan pembubaran DUN dan membatalkan notis pewartaan kerajaan negeri Sabah berhubung pembubaran itu.
   
Dengan keputusan ini, pilihan raya negeri akan berlangsung seperti yang dijadualkan.

Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Karim memutuskan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin telah melaksanakan bidang kuasanya dengan betul mengikut Perlembagaan Sabah dalam membubarkan Dun.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan selama dua hari bermula semalam yang dikemukakan oleh peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Adun berkenaan, Peguam Besar Negeri Sabah Brenndon Keith Soh mewakili Tun Juhar; peguam Cyrus Das mewakili Ketua Menteri  Mohd Shafie Apdal dan kerajaan negeri; dan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili SPR.

Sementara itu, Ketua Menteri, Mohd Shafie Apdal berharap semua pihak menerima keputusan Mahkamah Rayuan itu.

"Dengan keputusan itu, rakyat Sabah akan menjalankan tanggungjawab untuk memutuskan siapa yang boleh mentadbir negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,” katanya menerusi kenyataan video hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 September bagi penamaan calon dan hari mengundi pada 26 September.
 

Post a comment

0 Comments