Malaysia catat 182 kes baru, tertinggi sejak PKPP


KES berkaitan Covid-19 dilapor meningkat lagi hari ini apabila mencatatkan 182 kes baru dengan 181 kes penularan tempatan.

Dengan perkembangan itu, ia menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia setakat kini ialah adalah sebanyak 9,810 kes.

Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes dicatatkan hari ini merupakan jumlah kes baru tertinggi yang dilaporkan dalam satu hari sejak perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dilaksanakan pada 10 Jun.

Ia melebihi rekod yang dicatat hanya tiga hari yang lalu iaitu 100 kes baru pada 8 September.

"Sebahagian besar kes melibatkan Kluster Benteng di Sabah, dengan 167 kes dan Kluster Sungai serta Telaga di Kedah, sebanyak 14 kes," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Daripada 181 kes penularan di dalam negara, 90 adalah warganegara Malaysia manakala 91 adalah bukan warganegara.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan Kluster Benteng LD di Sabah terus merebak dengan mencatatkan 167 kes baru.

"76 kes adalah warganegara di mana 70 kes adalah banduan penjara dan enam kes adalah melibatkan orang awam yang dikesan melalui saringan kontak rapat.

"Baki 91 kes lagi pula adalah bukan warganegara yang melibatkan negara Filipina (61 kes) dan Indonesia (30 kes)," katanya lagi.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan seramai 14 pesakit dilapor sembuh hari ini. Ia menjadikan jumlah pesakit yang sembuh ialah seramai 9,181 orang atau 93.9 peratus dari keseluruhan kes.

Terdapat 501 kes aktif ketika ini dengan sembilan orang dirawat di ICU dengan lima daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan tiada kematian baru direkodkan dan jumlah kematian kekal sebanyaj 128 atau 1.30 peratus dari keseluruhan kes.

Post a comment

0 Comments