Arahan 'Mem', kata saksi kes rasuah Rosmah


MAHKAMAH
Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa isteri bekas Perdana Menteri, Rosmah Mansor mengarahkan seorang ahli perniagaan supaya menyediakan perjanjian perundingan bagi projek solar hibrid untuk sekolah luar bandar di Sarawak.

Lawrence Tee Kien Moon, 51, yang tampil sebagai saksi dalam kes Rosmah memberitahu,  arahan itu disampaikan bekas Pegawai Khas Rosmah, Rizal Mansor kepadanya dalam satu pertemuan yang turut dihadiri Rayyan Radzwill Abdullah (rakan kongsi bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin).

Pertemuan itu jelasnya berlangsung di sebuah cafe di pusat beli-belah Pavilion pada Mei 2016.

Ketika membacakan keterangan saksinya, Kien Moon berkata  Rizal memberitahunya dia harus menyediakan perjanjian perundingan untuk projek pembekalan dan pemasangan panel solar untuk lebih 300 sekolah di Sarawak.

“Saya mempersoalkan permintaan Datuk Rizal dan memberikan respons yang sama seperti saya lakukan kepada Rayyan bahawa perjanjian itu boleh disediakan oleh peguam Jepak.

"Saya juga beritahu Datuk Rizal, saya tidak pernah menyediakan perjanjian seperti itu dan perlu meminta peguam saya menyediakannya.

“Datuk Rizal kemudian beritahu saya bahawa saya harus menyediakannya kerana ‘mem’ mahu saya yang buat,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn.

Ketika ditanya oleh Poh siapakah ‘mem’, saksi menjawab “Datin Seri Rosmah”.

Saksi itu turut memberitahu, bahawa tiada perbincangan mengenai syarat komersial untuk perjanjian berkenaan kerana Rizal berkata ‘mem masih discuss’ (mem masih membincangkan perkara itu).

Kien Moon berkata, seperti yang beliau ingat, nilai kontrak projek solar itu melebihi RM1 bilion dan jangka masa pembayarannya melebihi beberapa tahun dan lebih daripada 10 peratus daripada jumlah nilai kontrak.

“Pada masa itu Datuk Rizal mahu saya memilih sebuah syarikat untuk melaksanakan perjanjian tersebut dengan Jepak. Saya bertanya, kenapa mereka tidak menggunakan syarikat mereka sendiri yang lebih mudah dari perspektif pengurusan tetapi mereka enggan,” katanya.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi.

Suapan itu didakwa diterima menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
 

Post a comment

0 Comments