Menteri PN digesa mohon maaf kepada keluarga pelajar


DUA Timbalan Menteri Perikatan Nasional (PN) yang 'membuli' seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu dilabel mereka sebagai menipu digesa tampil membuat permohonan maaf kepada keluarga pelajar itu.

Mahasiswa Pakatan Harapan (HARAPAN) menegaskan tuduhan kedua-dua pemimpin PN itu terhadap Veveonah Mosibin adalah tuduhan berat, malah mengambarkan sikap sebenar pemimpin yang tidak mengendahkan isu dan realiti dihadapi golongan Mahasiswa di negera ini.

Lebih teruk, tindakan itu dilihat sebagai cubaan menutup kelemahan mereka dengan menuduh dan membuli anak muda seperti Veveonah.

"Mahasiswa HARAPAN ingin memohon kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk campurtangan hal ini kerana Veveonah merupakan mahasiswa yang menjadi tanggungjawab Datuk Dr Noraini Ahmad.

“Kesombongan dan Ketidakpedulian kerajaan PN adalah signal yang jelas untuk menolak mereka di dalam PRN Sabah dan PRU-15 akan datang,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, Veveonah menjadi tular selepas memuat naik rakaman video di saluran YouTubenya 3 bulan lalu menunjukkan dia menghabiskan 24 jam di atas pokok dalam hutan untuk mendapat capaian internet terbaik bagi menduduki peperiksaan dalam talian.

Zahidi Zainul Abidin dalam Dewan Negara pada minggu lalu dilaporkan mendakwa Veveonah  cuma seorang YouTuber dan memalsukan peperiksaan dalam talian untuk menambah pengikut saluran videonya.

Sementara Rahim yang merupakan Ahli Parlimen Kudat pula mendakwa Veveonah sengaja “membuat drama” untuk mendapat perhatian dan publisiti.

Mengapa menteri PN tak pertahan Veveonah?


Layanan kedua-dua menteri dibawah pentadbiran Muhyiddin Yassin itu menerima kritikan meluas pemimpin pembangkang dan warganet.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menyifatkan tindakan Zahidi Zainul Abidin dan  Abdul Rahim Bakri yang menuduh Veveonah sebagai menipu adalah tindakan buli ciber. 


BACA: Timbalan menteri didakwa 'buli siber' pelajar

Sementara di Twitter, orang ramai mula mempersoalkan mengapa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun; dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tidak tampil mempertahankan Veveonah dari serangan sekutu mereka itu.

Susulan itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Masidi Manjun semalam tampil mengesahkan Veveonah sememangnya menduduki peperiksaan akhir semester pada 9 hingga 12 Jun lalu.

Masidi turut mengkritik kenyataan Abdul Rahim Bakri di Facebook yang mendakwa seorang dekan mengesahkan tiada sebarang peperiksaan akhir dibuat secara dalam talian.

“Dekan bukan orang yang bertanggungjawab mengendalikan kursus asasi sains dan ia bukan fakulti yang diketuai seorang pengarah.

“Memang tiada peperiksaan secara ‘online’ bagi kursus ijazah tetapi bagi peperiksaan kursus asasi sains atau pra sains, ianya ada,” katanya Masidi.

Post a comment

0 Comments