Muhyiddin perlu pecat timbalan menteri buli pelajar

 
DUA
timbalan menteri yang terbabit dalam kontroversi membabitkan pelajar Sabah, Veveonah Mosibin wajar dikenakan tindakan dicela oleh Jawatankuasa Tatatertib Parlimen.

Pandangan itu disuarakan Wartawan veteran, A Kadir Jasin susulan pengesahan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah, Masidi Manjun bahawa pelajar itu tidak berbohong mengenai peperiksaan didudukinya.

Tambahnya, permohonan maaf daripada Timbalan Menteri Kewangan, Abdul Rahim Bakri serta Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin tidak mencukupi, mereka perlu dipecat daripada jawatan masing-masing.

Bagaimanapun, Kadir melalui muatnaik di laman Facebooknya berkata, beliau tidak merasakan perdana menteri, Muhyiddin Yassin berani mengambil tindakan terhadap kedua-dua mereka.

“Saya tidak yakin Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, melihat perbuatan mereka sebagai serius atau berani bertindak ke atas wakil-wakil Umno itu.

“Kalau inilah sikap dan pekerti orang dewasa, khususnya dari parti-parti Perikatan Nasional, maka amat sesuailah orang muda mempunyai parti dan gerakan mereka sendiri supaya kuasa mengundi mereka tidak sia-sia,” tulisnya.

Veveonah menjadi terkenal baru-baru ini selepas memuat naik satu rakaman video di saluran YouTubenya 3 bulan lalu menunjukkan beliau menghabiskan 24 jam di atas pokok dalam hutan untuk mendapat capaian internet terbaik bagi menduduki peperiksaan atas taliannya.

Zahidi mendakwa Veveonah ialah seorang YouTuber dan memalsukan peperiksaan atas taliannya untuk menambah pengikut saluran videonya. Dia kemudiannya memohon maaf.

Bagaimanapun, Rahim menerusi catatan Facebook mendakwa Veveonah sengaja “membuat drama” untuk mendapat perhatian serta publisiti. Kemarahan netizen mendorong beliau memadamkan muat naik tersebut.

Sebelum ini, bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh mendakwa tindakan kedua-dua timbalan menteri itu terhadap remaja berusia 18 tahun itu sebagai 'buli siber'.

Manakala Mahasiswa Pakatan Harapan (HARAPAN) tampil mempertahankan Veveonah dan menggesa kedua-dua pemimpin PN itu tampil memohon maaf kepada keluarga pelajar tersebut.

Post a comment

0 Comments