PAS sudah jadi beban PN - Raja Kamarul Bahrin


PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menyifatkan isu kontroversi pemimpin PAS kini menjadi liabiliti kepada rakan kerjasama mereka.

Memetik laporan Sinar, Raja Kamarul Bahrin menjadikan contoh bagaimana kenyataan seorang pemimpin PAS sebelum ini telah mengguris perasaan bangsa dan agama lain.

“Ahli Parlimen Pasir Puteh dari PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh misalnya, meremehkan dan merendah-rendahkan agama lain secara terbuka, dan ia merupakan satu luka mendalam kepada bangsa lain. Itu bukan caranya menangani isu rakyat di bawah pemerintahannya.

“Jadi kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedar ia (kenyataan Zawawi) kesilapan yang besar, kerana itulah PAS tidak diberi kepercayaan untuk bertanding di Sabah.

“Apa yang berlaku di PRN Sabah ini memberikan gambaran yang lebih jelas dan saya rasa situasi sama akan berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga kerana isu kontroversi kerajaan PN terlalu banyak," katanya dipetik laporan itu.

Mengulas lanjut, Raja Kamarul Bahrin berkata, kenyataan terbaharu Zawawi yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat itu yang mencadangkan kerajaan mewujudkan penasihat syariah bagi setiap peringkat dan agensi kerajaan dan pihaknya sedia berkongsi kepakaran dari kalangan ahli PAS adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Jelasnya, PAS seolah-olah hanya ingin memegang kuasa sedangkan mereka tidak tahu cara mengendalikan kuasa secara bijaksana.

"PAS tiada kepakaran untuk memberikan nasihat. Saya rasa, tidak payah (penasihat daripada PAS) kerana banyak perkara yang sudah mereka rosakkan.

"Kalau nasihat pemimpin mereka sendiri sudah boleh porak-peranda negara, bayangkan jika orang biasa duduk di situ.

“Itu belum termasuk kes Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang tidak menjalani kuarantin wajib Covid-19 selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu. Perkara-perkara sebegini menunjukkan Pas liabiliti kepada PN dan MN (Muafakat Nasional),” katanya lagi.

Mengulas lanjut, bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu melihat PAS seolah-olah diperalatkan.

Mereka jelasnya hanya digunakan apabila diperlukan seperti yang berlaku di Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.

“Di tempat lain, PAS hanya diletakkan ke tepi. PAS hanya akan digunakan secara selektif dan bukannya menyeluruh. .

“PAS bukannya menjadi rakan yang tetap. Muafakat apa macam tu? Muafakat mesti ada pemerintahan bersama dan bekerjasama,” katanya.

Post a comment

0 Comments