Peguam ingatkan PM, jangan sekadar cakap kosong


MUHYIDDIN Yassin dicabar membuktikan prinsip kebertanggungjawaban dalam pentadbirannya dengan menggugurkan Khairuddin Aman Razali sebagai menteri kabinet.

Cabaran itu dibuat peguam Haniff Khatri Abdullah susulan kenyataan terbaru perdana menteri itu bahawa tiada sesiapa terkecuali daripada undang-undang.

Menurut Haniff, Muhyiddin perlu mengotakan kata-katanya supaya Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia tidak dilihat sebagai 'cakap tak serupa bikin'.

“Apabila Khairuddin sendiri mengingkari undang-undang dan peraturan yang diwujudkan oleh kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh Muhyiddin sendiri, secara khususnya keperluan kuarantin kendiri yang mulai berkuatkuasa pada 10 Jun 2020, maka wajib dan wajar untuk Muhyiddin menggugurkan Khairuddin daripada jemaah menteri tanpa syarat dan dengan serta -merta.

“Jika tidak, Muhyiddin sebagai perdana menteri akan memberi isyarat buruk kepada rakyat bahawa, walaupun Muhyiddin mengatakan tidak ada sesiapa yang boleh mengatasi undang-undang, tetapi ia cuma sekadar omong-omong kosong dan cakap tak serupa bikin sahaja,” tegas Haniff dalam satu kenyataan.

Sebelum ini  Khairuddin yang merupakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dilapor gagal melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari selepas pulang dari Turki.

Anggota Parlimen Kuala Nerus itu tiba di negara ini pada 7 Julai dan hadir di Dewan Rakyat kurang seminggu kemudian bagi mengundi untuk menukar Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Speaker Dewan Rakyat.

Tindakan Khairuddin itu membangkitkan rasa marah dikalangan rakyat negara ini dan mahu dia dihadapakan ke mahkamah.

Khairuddin kemudian mengakui kesalahan tersebut namun mengetepikan gesaan sesetengah pihak agar dia meletakkan jawatan.

Pada 31 Ogos, mursyidul am PAS Hashim Jasin mengibaratkan Khairuddin seperti burung hudhud dalam kisah Nabi Sulaiman yang menurutnya wajar diangkat sebagai hero.
 

Post a comment

0 Comments