Pelakon Idris Md Diah meninggal dunia.


PELAKON
veteran Idris Md Diah menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi.

Berita Idris,61, yang membawa watak Pak Andak dalam drama siri '7 Hari Mencintaiku 2' itu dimaklumkan rakan seperjuangan Azman Hassan melalui satu kemas kini di akaun Facebook.

"Inna lillahi wa'inna ilaihi roji'un, Al-Fatihah dan doa sejahtera buat Allahyarham seniman Idris Md Diah yang telah kembali ke rahmatullah awal pagi ini." tulis Azman.

Idris dilapor meninggal dunia di kediamannya di Presint 9, Putrajaya.

Anak Allahyarham yang dikenali sebagai Alia memaklumkan ayahnya tidak sedarkan diri sekitar jam 2 pagi dan keluarga terus menghubungi ambulans.

"Ayah disedari tidak sedarkan diri sekitar pukul 2 pagi, Arwah sudah dua tiga hari tidak selera makan," ujarnya.

Idris disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan pada jam 2.30 pagi.

Jenazah Allahyarham Idris dibawa ke Masjid Al-Faizin Desa Jaya, Kepong untuk pengurusan solat jenazah dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Ehsan, Kepong, sebelum zohor.

Allahyarham Idris sangat sinonim dengan karakter bapa dan datuk dalam beberapa drama seperti Menantu Bilal, Andainya Takdir dan Zahir Tak Terucap.

Selain berlakon, Idris pernah berkhidmat sebagai pustakawan di Perbadanan Kemajuan FIlem Nasional (Finas) pada tahun 1980-an.

Post a comment

0 Comments