Penyanyi Jimmy Palikat bertanding calon bebas


PENYANYI yang terkenal dengan lagu Anak Kampung, Jimmy Palikat bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Tambunan.

Jimmy yang dipetik laporan media tempatan berkata, walaupun merasa berat hati susulan pemergian bapanya pada Khamis lalu, dia tetap meneruskan hasrat bertanding pada PRN kali ini.

“Saya meneruskannya (menjadi calon) kerana ia juga adalah hasrat beliau (bapa) sebelum ini, dia merestui saya menjadi calon dan mahu melihat saya sebagai calon, namun apakan daya, dia tidak sempat (melihatnya).

“Sebelum beliau pergi, ketika berada di hospital, saya berulang kali berbisik kepadanya supaya bertahan, tapi mungkin ini sudah takdir, tapi saya akan teruskan niat ini.

“Walaupun dia sudah tiada, namun inilah hasratnya juga,” katanya dipetik FMT.

Jimmy tiba di pusat penamaan calon di Dewan Masyarakat Tambunan kira-kira jam 8.30 pagi Sabtu sebelum menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.15 pagi.

“Kalah atau menang adalah perkara kedua bagi saya ketika ini, namun saya tetap akan mencuba yang terbaik.

“Buat masa ini saya akan berkabung beberapa hari dulu berikutan pemergian bapa dan selepas itu barulah saya akan mula berkempen,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Jimmy yang bertanding sebagai calon Bebas dijangka menghadapi laluan sukar di kerusi berkenaan.

Jimmy akan berdepan pertandingan 6 penjuru bersama presiden STAR, Jeffrey Kitingan, Sylvernus Bruno (PBS), Damian Richard Marcus Podtung (Parti Cinta Sabah), dan Nordin Jani (Parti Gagasan Rakyat Sabah).

Manakala calon Warisan Plus, Laurentius Nayan Yambu akan menggunakan lambang pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)

Post a comment

0 Comments