Penyanyi Sandra Dianne meninggal dunia


PENYANYI
yang juga peserta rancangan Big Stage musim ketiga, Sandra Dianne meninggal dunia di Hospital Putrajaya, awal pagi tadi.

Pemergian Sandra, 26 dimaklumkan penyanyi berasal dari Singapura, Sufie Rashid melalui entri di Instagram, kira-kira jam 1.20 pagi.

"Assalamualaikum semua, minta sedekahkan Al-Fatihah untuk Sandra yang telah meninggalkan kita.

"Selamat pulang ke rahmatullah sahabatku. You're a good friend with a beautiful heart. Terima kasih sebab beri saya peluang untuk satu pentas dengan awak. Semoga awak tenang di sana.. innalillahiwainnailaihirojiun," katanya.

Sabtu lalu, Allahyarham Sandra atau nama sebenarnya Alessandra Dianne Ampuria yang popular dengan lagu Hey! Kau terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan mengikuti latihan konsert minggu keempat Big Stage 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Beliau dilaporkan koma dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) hospital Putrajaya.

Arwah yang bakatnya dicungkil melalui program realiti Mentor Legend 2014, pernah popular dengan lagu Hey Kau! yang meraih tujuh juta tontonan di YouTube.

Jenazah Allahyarham Sandra Dianne akan dikebumikan di Kampung Kauluan, Tuaran, Sabah, petang ini.

Wakil syarikat rakaman Sony Music Entertainment Malaysia Sdn Bhd, Vea memberitahu, urusan membawa pulang jenazah ke Sabah, sedang diuruskan keluarga arwah.

Post a comment

0 Comments