Penyokong tolak calon Umno, Pemimpin PAS rasa kecewa


BELUM hari penamaan, namun Umno Sabah dilapor telah mula bergolak susulan rasa tidak puas hati kepada senarai calon diwakili parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan berlangsung.

Beberapa pemimpin tempatan daru Umno hari ini menyuarakan rasa kecewa apabila bekas ketua menteri, Musa Aman tidak tersenarai sebagai calon.

Dipetik laporan Malaysiakini, lebih 20 ketua cawangan Umno dari empat daerah pengundian di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) N51 Sungai Manila menolak calon parti itu, Mokran Ingkat.

Sebelum ini, Musa Aman yang menggerakkan usaha menjatuhkan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Shafie Apdal dilapor mahu bertanding di kawasan DUN berkenaan.

“DUN 51 Sungai Manila menolak calon yang telah diumumkan semalam kerana beliau tidak pernah berkhidmat di sini.

“Kalau mahu menang tukar calon. Kami mahu calon untuk ditukar,” kata Ketua Umno Cawangan Taman Sri Gaya, Sapar Sastro yang ditemani oleh 23  penyokong Umno.

Sebilangan besar pemimpin yang mahu Umno mencalonkan Musa Aman di kawasan itu merupakan dari golongan veteran parti. Mereka mendakwa bahawa Mokra bukanlah nama yang dikenali di kawasan itu.

Pada Rabu, Musa telah membangkitkan mengenai masa depan politiknya menerusi hantaran di Facebook yang samar-samar, "Saya akan kembali ke Sungai Manila".

Selain pencalonan Mokran di Sungai Manila, Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin semalam turut mengumumkan bahawa Mohamad Hamsan Awang Supian sebagai calon Sungai Sibuga.

Dalam satu laporan, Bung Mokhtar memberi alasan bahawa Musa tidak dicalonkan kerana dia tidak memintanya.

Selain Musa Aman, nama Ahli Majlis Tertinggi UMNO,  Abdul Rahman Dahlan juga tidak tersenarai dalam calon pada PRK kali ini.

Dalam perkembangan lain, beberapa pemimpin PAS pula meluahkan rasa tidak puas hati setelah parti mereka tidak diberi sebarang kerusi untuk bertanding.

Pemimpin PAS tak puas hati

Antara yang melontarkan rasa kecewa ialah bendahari PAS, Iskandar Abdul Samad yang berkias menggunakan analogi tongkat Nabi Musa.

“Bila sakit cari tongkat, bila dah sihat buang tongkat. Tapi tongkat bukan sebarang tongkat. Macam tongkat Nabi Musa AS boleh jadi ular bila dicampak. Boleh patuk balik. Hati-hati,” tulisnya di laman Twitter.

Selain Iskandar, Turut memberikan komen negatif adalah AJK PAS Pusat, Riduan Mohd Nor

Katanya, “Orang berbudi kita berbahasa, orang tak bagi kita berlaga!”.

Lebih malang, PAS mukan sahaja tidak diberi ruang meletakkan calon, malah bereka turut tidak dijemput hadir ke majlis pengumuman calon gabungan Perikatan Nasional (PN) dan BN semalam.

“Kita tak dijemput,” jawab Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling, dipetik laporan media tempatan.

Sementara itu, Ulama kontroversi PAS, Mokhtar Senik menyeru penyokong parti itu berpegang teguh kepada amalan taat dan walak dalam isu pembahagian kerusi.

"Sedikit itu jauh lebih baik dari tiada langsung. PAS adalah parti dakwah bukan sekadar parti politik. Kerana itu PAS tidak kedekut dalam memberi dan tidak tamak dalam meminta meminta," katanya seperti dilapor.

Untuk rekod, PAS sebelum ini mensasarkan 10 kerusi pada PRK itu, namum tidak diperuntukkan mana-mana kerusi.

Susulan itu penyokong PAS diperli lawan politik di media sosial dengan harapan mereka (penyokong PAS) dapat terus membantu memasang bendera untuk BN dan sekutu yang pernah ditentang mereka sebelum ini.
 

Post a comment

0 Comments