Pertemuan PM dengan Wei Fenghe dipersoal


BEKAS timbalan menteri pertahanan Liew Chin Tong menzahirkan rasa hairan apabila media arus perdana tidak melaporkan pertemuan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dengan Menteri Pertahanan China, Wei Fenghe.

Menurut Liew, ia adalah sesuatu yang menimbulkan persoalan mengapa pertemuan itu tidak disiarkan sedangkan kehadiran menteri daripada negara kuasa besar itu dianggap satu acara diplomatik penting buat kerajaan dan negara.

"Saya tidak faham kenapa lawatan ini tidak diberi liputan, lawatan menteri pertahanan China sebenarnya satu perkara ataupun acara penting.

"China, Amerika Syarikat dua kuasa besar dan kepentingan di rantau ini.

“Saya tak pasti lawatan itu diberikan liputan di Malaysia, (tetapi) warga Malaysia dapat maklumat daripada sumber (media) China," katanya dalam sidang media.

Siang tadi, tular gambar pertemuan Muhyiddin dengan Wei Fenghe yang memakai pakaian seragam tentera negara komunis tersebut.

Berita dan gambar berkaitan kunjungan itu dilaporkan di media rasmi Kementerian Pertahanan China kelmarin.

Ia turut disiarkan Agensi berita China Xinhua dan akhbar Hong Kong South China Morning Post.

Menurut laporan itu, khadiran Wei ke Kuala Lumpur pada Isnin lalu dilaporkan untuk membincangkan kerjasama dua hala dengan Muhyiddin. Muhyiddin pula dilapor menyatakan kesediaan Malaysia memperkukuhkan hubungan dengan Beijing dalam semua bidang.
M'sia perlu berpendirian berkecuali

Mengulas lanjut, Liew berkata Malaysia berada di tengah-tengah kemelut antara China dan Amerika Syarikat berhubung kedaulatan Laut China Selatan.

Justeru Malaysia tegasnya tidak harus seharusnya memihak kepada mana-mana kuasa besar.

"Negara kita berada di satu rantau di mana krisis boleh berlaku bila-bila masa terutamanya di Laut China Selatan terutamanya Amerika Syarikat dan China berada dalam satu konteks persaingan.

"Persaingan secara strategik, Malaysia harus memimpin pandangan. Seperti mana peranan Malaysia mainkan sejak dulu," katanya lagi.

Post a comment

0 Comments