PN tak sesuai terajui masyarakat majmuk, kata Aziz Bari


KETUA
pembangkang DUN Perak, Abdul Aziz Bari menyifatkan kenyataan kontroversi seorang pemimpin PAS membuktikan parti itu dan Perikatan Nasional (PN) tidak sesuai menerajui masyarakat Malaysia.

Kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh berhubung kitab Injil dalam Dewan Rakyat baru-baru ini tegasnya menunjukkan bahawa PAS gagal menanggapi konsep dakwah dan kepentingan hikmah yang dianjurkan oleh Islam.

Pakar perlembagaan itu turut berkata, ucapan Zawawi itu telah meluka hati masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini dan merupakan satu manifestasi pendekatan rasis dalam parti PN, Muafakat Nasional mahupun Barisan Nasional

“Kontroversi yang timbul dari komen yang cuai ahli parlimen PAS itu adalah satu lagi bukti betapa PAS khususnya dan Perikatan Nasional amnya tidak sesuai menerajui masyarakat majmuk yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

“Kenyataan itu jelas meletakkan parti-parti rakan mereka di Sabah dan Sarawak terkedu dan serba salah. Begitu juga dengan parti-parti rakan mereka di semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 26 Ogos, ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 di Dewan Rakyat, Zawawi berkata tidak ada agama yang membenarkan penganutnya meminum arak.

Ngeh Koo Ham (Beruas) kemudian mencelah dengan mengatakan kenyataan itu tidak tepat dan meminta Zawawi memperbetulkan kenyataannya.

Bagaimanapun Zawawi mempertahankan pendapat tersebut.

Susulan itu Persatuan Gereja di Sarawak menggesa Zawawi memohon maaf dan menarik semula kenyataan yang dikatakan melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 yang menjamin hak kebebasan beragama.

Zawawi bagaimanapun berasakan tiada sebab untuknya meminta maaf, dan berkata tiada pihak yang seharusnya tersinggung dengan kenyataannya itu.

Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan ahli politik agar tidak menggunakan retorik fanatik agama atau kaum untuk memecah belahkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Tambahnya, jika perkataan Zawawi itu menimbulkan perseteruan dan kesalahfahaman, maka jalan terbaik adalah menonjolkan kerendahan hati dengan mengakui kemungkinan terdapat kesalahan dalam pendekatan itu.

“Jika niat beliau adalah untuk mengajak orang ramai untuk memahami Islam, adalah mustahak untuk menggunakan “kebijaksanaan dan nasihat yang baik” (An-Nahl: 125) yang bermaksud saling menghormati antara satu dengan yang lain,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Post a comment

0 Comments