PRN Sabah: DUN Bengkoka cipta sejarah.


SURUHANJAYA
Pilihan Raya memaklumkan, seramai 447 calon daripada 16 parti telah disahkan akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh dalam satu laporan media semalam, berkata Parti Cinta Sabah mempertaruhkan jumlah calon paling ramai dengan 73 calon.

56 calon bebas mencalonkan nama dalam PRN kali, sementara seorang individu yang mahu bertanding dibawah tiket USNO di kerusi DUN Petagas ditolak pencalonan kerana didapati bangkrup.

Mengulas mengenai calon, Abdul Ghani berkata, calon termuda diketengahkan pada PRN kali ini berusia 22 tahun (DUN Tandek) sementara paling tua ialah calon berumur 75 tahun (DUN Bugaya).

Terdapat lebih 131 calon berusia 60 tahun ke atas.

PRN Sabah kali ini mencipta sejarah tersendiri apabila menyaksikan pertembungan 11 penjuru bagi perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka.

"Ia diikuti dengan pertandingan 10 penjuru di DUN Inanam," katanya di sidang media SPR di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah.

"Proses penamaan calon hari ini juga berjalan lancar dengan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) susulan Covid-19 dan semua pihak yang terbabit mematuhi arahan yang dikeluarkan,"tambahnya.

Tarikh pengundian ditetapkan pada 26 September ini manakala pengundian awal pada 22 September.

Abdul Ghani menjangkakan keputusan rasmi boleh diumumkan sebelum jam 12 tengah malam pada 26 September ini.

"SPR sudah berbincang dengan PDRM untuk menggunakan helikopter khususnya di kawasan pedalaman dan berharap cuaca baik pada hari pengundian," jelasnya.

Dianggarkan Sebanyak 1.12 juta pengundi layak memilih pada pilihan raya ini, SPR meramalkan lebih 75 peratus akan keluar mengundi.

PRN Sabah diadakan susulan pembubaran DUN pada 30 Julai lalu.

Sehari sebelum itu, bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai cukup majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri.

Sementara itu tambah Abdul Ghani, SPR akan terus melaksanakan penambahbaikan dalam PRN kali ini dan SOP yang digunakan adalah sama dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim baru-baru ini.

Katanya, calon yang bertanding juga diingatkan untuk mendapatkan permit ceramah dari PDRM dan tidak melebihi 250 orang berdasarkan saiz dewan.

Post a comment

0 Comments