Projek 'runding terus': Tamrin saman Zuraida


MOHD TAMRIN Tun Ghafar dilapor telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin.

Ia susulan dakwaan Zuraida bahawa beliau sebagai Penasihat Syarikat Bumi Segar Indah telah bertemu sendiri bagi pihak mereka dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 26 November 2018 berhubung satu projek ‘rundingan terus’ stesen pemindahan sisa pepejal.

Melalui satu kenyataan, anak kepada bekas perdana menteri itu menjelaskan bahawa projek itu sebenarnya diberikan melalui rundingan langsung di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada 2017 dan bukan dibuat ketika Lim menjadi menteri kewangan.

Tamrin telah mengirim surat guaman kepada KPKT pada Rabu bagi menyatakan hasrat untuk saman Zuraida.

"Zuraida pada 28 Ogos menggambarkan seolah-olah projek tersebut diberi secara runding terus oleh bekas menteri kewangan Lim Guan Eng kepada syarikat tersebut atas dasar pengelibatan saya dalam syarikat tersebut.

"Untuk makluman projek tersebut telah diberi secara runding terus oleh kerajaan BN atau BN dalam tahun 2017. Menteri KPKT ketika itu ialah Noh Omar.

Tamrin menambah bahawa selepas mengambil alih pentadbiran negara, kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) membuat dasar bahawa semua projek yang telah diberi secara runding terus oleh BN akan diturunkan atau dikurangkan harga sebanyak 10 peratus daripada harga asal.

Ia bertujuan untuk menjimatkan perbelanjaan kewangan negara.

"Perkara-perkara lain akan dikemukakan semasa perbicaraan di mahkamah nanti.

“Surat kepada Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) KPKT bertarikh 9 September 2020 yang telah disahkan penerimaannya, (akan) disertakan,” jelasnya lagi.

Zuraida sebelum ini mendakwa Lim telah menasihati Bumi Segar Indah untuk menghantar cadangan formal dan akhirnya menyetujui projek itu melalui surat bertarikh 20 Februari 2019.

Isu tersebut timbul susulan dakwaan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz kononnya 101 projek rundingan terus telah diluluskan oleh kerajaan HARAPAN.

Bagaimanapun, sebahagian besar projek dalam senarai itu diluluskan semasa pemerintahan BN di Putrajaya.

Zafrul kemudian tampil menggesa supaya isu 101 projek yang didedahkan itu tidak dipolitikan.

Post a comment

0 Comments