Rizal sahkan Rosmah terima habuan RM6.5 juta



RIZAL Mansor mengesahkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor telah menerima wang tunai RM6.5 juta.

Bekas pegawai khas Rosmah itu berkata wang tunai itu adalah daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin. Ia upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan kontrak bagi projek solar hibrid di Sarawak.

Saksi pendakwaan ke-21 itu berkata wang tunai, masing-masing RM5 juta dan RM1.5 juta telah dihantar kepada Rosmah secara berasingan di kediaman rasminya di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada penghujung Disember 2016 dan di Langgak Duta, di sini, awal September 2017.

Ia sebahagian daripada wang RM187.5 juta yang telah dijanjikan untuk diberikan kepada isteri bekas perdana menteri itu.

Menurut Rizal, Rosmah  mengarahkannya menghantar wang berkenaan ke kediaman rasminya di Seri Perdana.

Di kediaman rasmi itu, Rosmah mengarahkan dua ‘butler’nya (pelayan) untuk membawa kedua-dua bagasi yang mengandungi wang tunai RM5 juta masuk ke dalam rumah berkenaan.

"Saya kemudian telah berjumpa Datin Seri Rosmah bersama kedua-dua bagasi tersebut.

"Beliau kemudian bertanya kepada saya "berapa"? dan saya jawab "lima" bermaksud RM5 juta.

Datin Seri Rosmah tidak membuka kedua-dua bagasi itu dan mengarahkan butler beliau untuk menghantar beg-beg tersebut ke dalam biliknya (Rosmah)," katanya ketika membacakan penyataan saksi pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Rizal berkata selepas menerima RM5 juta itu, Rosmah kerap bertanya kepadanya berkenaan baki pembayaran yang perlu dibuat oleh Jepak kepada Rosmah.

"Saya menerima soalan-soalan tersebut (daripada Rosmah) sebagai satu arahan kepada saya untuk mempercepatkan proses bagi mendapatkan baki pembayaran yang telah dijanjikan.

"Oleh sebab itu, saya ada beberapa kali mendesak Saidi untuk membayar baki tersebut kepada Datin Seri Rosmah dengan segera," tambahnya lagi.

Post a comment

0 Comments