Senator gesa segera bahas tindakan provokatif Filipina


SEORANG
Senator mencadangkan agar Dewan Negara dapat menangguhkan majlis mesyuarat bagi membahaskan usul khas berhubung isu tuntutan Filipina terhadap Sabah.

Adrian Lasimbang berkata, perkara itu dapat dilakukan mengikut peraturan mesyuarat 17(1) bagi membahaskan berkenaan tuntutan Filipina susulan tindakan negara itu megeluarkan lakaran peta yang menyatakan bahawa negeri itu merupakan sebahagian daripada wilayah Filipina.

“Ini adalah satu tindakan provokatif yang menggugat dan mencabar kedaulatan Negara Malaysia dan Kedaulatan Negeri Sabah yang berada dalam Persekutuan Malaysia.

“Usul ini satu perkara yang mustahak bagi kedaulatan negara dan satu pelanggaran terhadap kerjasama serantau melalui ASEAN serta melanggar perjanjian-perjanjian di peringkat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB),” kata senator DAP itu.

Dalam pada itu, Adrian berkata, usul itu perlu disegerakan kerana sebarang tindakan yang mempersoal kedaulatan Negara Malaysia adalah satu isu keselamatan dan tidak boleh diambil ringan.

Katanya, tuntutan Filipina terhadap Sabah telah menggugat ketenteraman dan menimbulkan kerisauan terhadap keselamatan dalam kalangan rakyat negeri itu

“Jadi usul ini juga melibatkan kepentingan ramai kerana ia melibatkan persempadanan negara, penguatkuasaan undang-undang maritim dan imigresen.

“Malaysia sebuah negara yang mengamalkan prinsip non-confrontational dalam menangani isu diplomatik perlu membuat tindakan yang proaktif dan memerlukan tindakan pantas dari kerajaan melalui Wisma Putra untuk menangani masalah ini,” katanya dipetik.

Post a comment

0 Comments