Senator KEADILAN cadang beri pingat kepada 'frontliner'


SEORANG Senator yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mencadangkan kerajaan mewujudkan pingat khas bagi menghargai jasa petugas barisan hadapan negara yang bertugas memerangi wabak Covid-19.

Senator Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid menyarankan agar hasrat itu disembah maklum  kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya  'Pingat Keberanian Khidmat Covid-19' itu dapat diwujudkan.

"Pingat itu adalah untuk semua frontliners atau petugas barisan hadapan yang bersusah payah atau berhadapan risiko dalam hadapi Covid-19, dan kita sedia maklum bahawa usaha kita (Malaysia) telah diiktiraf oleh dunia khususnya WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia).

"Saya juga ingin bangkitkan ini kerana Ketua Pengarah Kesihatan telah dianugerahkan gelaran Tan Sri (Dr Noor Hisham Abdullah), maka sebab itu amatlah wajar kita pertimbangkan untuk frontliners juga dikurniakan dengan sedikit pingat kecil," katanya.

Bekas Ahli Parlimen Lumut itu membangkitkan isu pengiktirafan dan kebajikan petugas barisan hadapan semasa membahaskan usul tersebut di Dewan Negara.

Cadangan Mohamad Imran itu turut disokong Senator dari Warisan, Datuk Theodore Douglas Lind yang sependapat penganugerahan itu sebagai satu tanda penghargaan atas pengorbanan petugas barisan hadapan melindungi masyarakat daripada wabak tersebut.

"Kita tidak boleh nafikan bahawa kejayaan ini dicapai kerana rakyat jelata tidak kira bangsa dan agama bersatu serta berdisiplin mematuhi arahan kerajaan dan pihak berkuasa," katanya.

Sementara itu, Senator Datuk Razali Idris pula turut menggesa agar kerajaan memperhalusi dan menambah baik elaun kritikal petugas barisan hadapan negara.

Ia termasuk memberi pelindungan insurans perubatan, keselamatan dan perlindungan baik untuk diri mereka dan keluarga.

"Tanpa kesanggupan barisan hadapan berdepan wabak atau konflik tidak diduga, siapalah kita sebagai rakyat biasa ini hendak bergantung harapan," katanya.

Post a comment

0 Comments