Tak sempat elak tayar tercabut



SEORANG mekanik maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh tayar belakang sebuah treler muatan balak yang tercabut.

Dalam kejadian di Kilometer 48 Jalan Temerloh-Bandar Jengka/Jerantut dekat Maran petang semalam, mangsa, Mohamad Zazmi Mohd Zahari, 22, maut di lokasi kejadian.

Kemalangan turut menyebabkan bahagian depan motosikal jenis Yamaha LC 135 ditunggang mangsa remuk teruk.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, ketika kejadian treler yang membawa muatan kayu balak dalam perjalanan dari Lepar, Jerantut ke Kuala Lumpur.

Mangsa pula menurutnya sedang menunggang ke arah jerantut.

"Sebaik tiba di tempat kejadian tiba-tiba tayar belakang sebelah kanan treler berkenaan tercabut dan bergolek ke kanan jalan lalu bertembung motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan.

"Mangsa dikatakan tidak dapat mengelak kerana tayar itu berada terlalu hampir, sehingga menyebabkan motosikalnya terjatuh ke tebing jalan sebelah kanan," katanya.

Dalam kejadian itu, pemandu treler yang berusia 50 tahun tidak mengalami kecederaan.

Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Jengka, Maran untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Post a comment

0 Comments