Tuduhan baru cubaan cemar reputasi - Lim


BEKAS
Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melupuskan dua tanah lot milik kerajaan negeri Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Bagan itu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibacakan di hadapan hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid pagi ini.

Mengikut pertuduhan pertama Lim dituduh melupuskan harta milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu di Lot Tanah No. H.S.(D) 18801 bernilai RM135,086,094 kepada syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Manakala bagi pertuduhan kedua pula beliau dituduh melupuskan harta milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang, iaitu di Lot Tanah No. H.S.(D) 19318 bernilai RM73,668,986.00 kepada syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Lim Bersama penyokongnya
Nilai anggaran kedua-dua tanah yang dilupuskan itu adalah sebanyak RM208,755,080.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Wan Shaharudin Wan Ladin, Francine Cheryl Rajendram dan S. Selvaranjini.

Manakala Lim diwakili barisan peguam Gobind Sing Deo, Ramkarpal Singh, RSN Rayer dan Sivanesan Achalingam.

Dalam satu sidang media, Lim menyifatkan tuduhan terbaharu dikenakan terhadapnya bertujuan untuk merosakkan reputasinya.

Menurutnya ada empat percanggahan dalam dua pertuduhan hari ini termasuk tiada wang rasuah ditemui dalam pemilikannya dan isterinya, dan projek itu ditawarkan melalui tender terbuka.

Selain itu katanya, pembayaran dibuat kepada Konsortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) perlu mendapat kelulusan daripada pegawai kerajaan negeri setelah mendapat persetujuan daripada firma perunding kejuruteraan profesional bebas.

Menurutnya Lim lagi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2019 telah mengesahkan bahawa syarikat itu tidak melakukan rasuah.

Post a comment

0 Comments