Wanita maut kereta dipandu suami terbabas


SEORANG
wanita maut setelah kereta dipandu suaminya terbabas sebelum merempuh besi tengah pengadang jalan di Kilometer (KM) 392.2, Lebuhraya Pantai Timur (LPT 2), Ajil-Bukit Besi di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud dipetik berkata,  mangsa, Tuan Isma Farazilahidayah Ismail, 36, meninggal dunia di tempat kejadian manakala suaminya parah dalam kejadian itu.

Difahamkan, ketika kejadian pasangan itu dalam perjalanan dari arah Pasir Puteh, Kelantan menuju ke Pasir Gudang, Johor Bharu.

Keadaan di tempat kejadian
"Semasa tiba di lokasi, kereta jenis Toyota Vios dipandu suami mangsa berusia 30 tahun hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh besi tengah pengadang jalan.

"Akibat rempuhan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala suaminya cedera parah dan dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan susulan," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Mohd Adli, siasatan awal mendapati pasangan berkenaan beralamat di Kampung Gong Tinggi, Pasir Puteh, Kelantan namun bekerja di Pasir Gudang, Johor Bharu.

Susulan kemalangan itu, pihak polis membuka siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


 

Post a comment

0 Comments