Warisan Plus lancar agenda bangunkan Sandakan


TUJUH calon WARISAN Plus melancarkan agenda gagasan dalam usaha membangunkan daerah Sandakan.

Gagasan bertemakan ‘Sandakan Berpadu, Sabah Baharu’ itu bakal merangkumi lima usaha mengangkat daerah itu dengan antara lain melalui pendidikan dengan membangunkan sebuah universiti penuh.

Selain itu usaha lain yang mahu dilaksana di daerah itu adalah bagu meningkatkan perkhidmatan kesihatan awam, menambah baik sistem pengangkutan awam dan rakyat daerah itu bakal diberi kepercayaan mencorak kebangkitan Sandakan.

Mereka turut mahu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk warga tempatan Sandakan

Tujuh calon yang terlibat dengan agenda tersebut ialah Arunarsin Taib bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum-Gum; Prof Dr Mahmud Sudin (Sungai Manila); Armani Mahiruddin (Sungai Sibuga); Alias Sani (Sekong); George Hiew (Karamunting), Calvin Chong (Elopura) dan Frankie Poon (Tanjung Papat).

Kesemua mereka melalui satu kenyataan bersama menegaskan bahawa gagasan tersebut tepat dengan semangat perpaduan yang diangkat sebagai tema utama kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) oleh WARISAN Plus.

Menurut mereka ketika ini semua rakyat berkongsi nilai dan kebimbangan yang serupa dan mereka wajar bersatu bagi menangani isu-isu itu.

“Keresahan ekonomi, politik, dan sosial rakyat Malaysia adalah asas yang menyatukan kita semua.

“Rakyat Sandakan berhak untuk mendapat khidmat dan manfaat yang terbaik daripada kerajaan.

"Ini semua boleh diraih dengan menyatukan seluruh kekuatan dan tenaga politik, sosial dan ekonomi di setiap peringkat agar rakyat Sandakan dan negeri ini dapat mencorak masa depan yang lebih gemilang,” menurut kenyataan itu.

Menyentuh lanjut gagasan tersebut, mereka menjelaskan agenda pertama mewujudkan universiti penuh merupakan usaha menangani kekurangan institut pengajian tinggi, sekali gus memberi peluang penduduk tempatan melanjutkan pelajaran.

Agenda kedua pula iaitu meningkatkan kesihatan awam bakal dilaksana menerusi usaha menambah bilangan doktor dan pakar untuk berkhidmat kepada setengah juta penduduk daerah ini dengan perkhidmatan berkualiti.

Agenda ketiga iaitu rakyat mencorak kebangkitan Sandakan adalah dengan mewujudkan suasana hidup rakyat yang lebih baik menerusi inisiatif pimpinan yang disokong pemerintah dalam usaha membina sebuah bandar lestari dan sembang.

Agenda keempat adalah mewujudkan lebih banyak peluang kerja untuk warga tempatan dengan menggembleng usaha mengembangkan ekonomi dengan norma baru, sementara agenda terakhir iaitu menambah baik sistem pengangkutan awam dengan fasiliti dan cekap perlu supaya jurang bandar dan luar bandar di daerah itu dapat dikurangkan.

Post a comment

0 Comments